Suatu ketika, aku pulang ke kampung halamanku. Terlalu banyak
perubahan yang berlaku sejak bertahun yang lalu. Aku merindui suasana kampungku
yang dahulunya sentiasa meriah dengan usikan atok dan opah, namun kini tiada
lagi itu semua. Perlahan-lahan suasana itu berubah, dan aku merasakan rumah
atok dan opah kini terlalu sunyi.
Dahulu, setiap kali kami datang pastinya atok dan opah menjamu kami
dengan pelbagai makanan. Ada sahaja bekal yang dikirimkan kepada kami.
Kadang-kadang atok bagi kami bawak balik buah, air kotak, kerepek kerepek,
biskut dan bermacam lagi. Atok dengan opah tidak pernah sekali pun meninggi suara
pada kami. Ada sahaja usikan daripada mereka berdua.
Atok, pagi-pagi lagi dia sudah sibuk di luar rumah. Walaupun kakinya ketika itu tidak betah
untuk berdiri lama, tetapi dia masih tetap membuat kerja-kerja mengemas,
menyapu daun kering di halaman rumah. Ada saja kerja yang hendak dibuatnya. Aku tahu atok sunyi selepas arwah opah
pergi meninggalkan kami. Namun, dia cuba kuat demi anak-anak dan cucunya.
Tidak lama selepas arwah opah meninggal, Allah uji pulak dengan keadaan
atok yang mulai kerap keluar masuk hospital. Aku tahu, pasti atok akan menyusul
langkah mengikut arwah opah. Benarlah pada pagi itu, nafas atok sudah di
hujung-hujung nyawa. Terasa berat sekali melihat keadaannya ketika itu. Masih ku ingat
lagi, abang sepupuku perlahan-lahan membisikkan kalimah syahadah di telinga
atok.
Dan sesungguhnya kepergian mereka benar-benar meragut kenangan remajaku.
Di usia yang menginjak 23 tahun ini, aku cuba kembali mengenang kisah lalu.
Andai aku boleh putarkan masa, aku ingin kembali ke zaman kanak-kanak dan
remajaku, bersama-sama atok dan opah. Nana rindu atok dengan opah. Semoga arwah
atok dan opah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dan diampunkan
dosa masa lalu. Al-fatihah.
No comments:
Post a Comment