ULASAN TENTANG BLOG DI DALAM KELAS BAHASA
Blog dianggap sebagai satu jaringan komunikasi atas talian yang masih kekal utuh digunakan sejak ianya diperkenalkan pada tahun 1991. Betapa unggulnya kewujudan blog sehingga mampu bertahan dan tetap menjadi pilihan para pengguna di luar sana sebagai satu cara untuk berkongsi maklumat kepada pembaca.
Menurut Normaliza Abd Rahim, 2014 blog merupakan
medium perbincangan bertulis sama ada secara formal atau tidak formal. Blog
pada hakikatnya mempunyai banyak kelebihan, yang mana pengguna atau individu itu sendri boleh menggunakan blog untuk kegunaan peribadi misalnya sebagai jurnal atau
catatan diari.
Malah, blog juga boleh digunakan untuk tujuan perniagaan secara atas
talian. Penggunaan blog dilihat lebih mudah dan efektif memandangkan ianya
bertindak sebagai laman web yang mesra pengguna. Bukan itu sahaja, Li &
Chignell, 2010 turut mengemukakan pendapatnya bahawa interaksi dua hala antara
pembaca dengan penulis atau penulis dengan penulis yang lain boleh berlaku
dengan menggunakan blog. Selain itu, menulis blog dapat dilihat sebagai satu aktiviti yang
memberi manfaat kerana penulis atau pengguna itu sendiri boleh mengaplikasikan
kemahiran menulis dengan kreatif di
samping meningkatkan keyakinan mereka untuk menulis.
Jika dilihat pada kajian yang dilaksanakan oleh penyelidik-penyelidik
lepas, penggunaan blog sangat memberi peranan yang baik. Misalnya, Wang &
Woo menyatakan bahawa blog sebagai alat teknologi yang menawarkan peluang
kepada pengguna untuk menyusun maklumat untuk dikongsi secara bersama, memberi
maklum balas atau komen dan sebagainya.
Manakala menurut Zaini et. al, 2012 pula memperlihatkan penggunaan blog
yang mampu mendorong pelajar untuk membentuk kemahiran menulis.
Walau bagaimanapun, beliau menekankan pelajar supaya bertanggungjawab dan lebih berhati-hati ketika
menulis sesuatu dan sebaiknya elakkan daripada menyentuh sensitiviti masyarakat
luar.
Di dalam buku Eh!!! Media Sosial, Normaliza Abd Rahim juga telah mengemukakan
sepuluh cara yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pelajar atau pengguna blog sekiranya
mahu menghasilkan penulisan blog yang baik dan bermanfaat. Antaranya ialah,
menggunakan tajuk dan cerita yang dapat menarik perhatian pembaca. Penulis juga
digalakkan untuk menggunakan ayat-ayat humor dan berbentukjenaka supaya pembaca
tidak bosan dengan cerita yang disiarkan. Pastikan hujah disertakan ketika
menghuraikan penulisan.
Penulis juga boleh menyampaikan bentuk penulisan yang berkaitan dengan
isu semasa. Penulis hendaklah menggunakan ayat yang ringkas dan dapat difahami
oleh pembaca. Selain itu, penulis dapat berkomunikasi dengan pembaca melalui
penulisan blog yang disiarkan. Sebaik-baiknya, penulisan itu hendaklah bersifat
keilmuan dan pengetahuan serta selitkan moral dan nilai estetika.
Kesimpulannya, buku ini dilihat sangat memberi pendedahan dan maklumat
baru berkaitan dengan media sosial. Malah, penulis buku ini juga turut memberi
panduan yang jelas kepada pengguna yang baru hendak berkecimpung dalam dunia
media sosial atau blog.