Saturday, October 19, 2019

BBM3410Satu2019: Instagram Minggu 6

Post 1: Gambar ini menjadi lambang persahabatan, kegigihan dan kesanggupan empat sekawan untuk bersama-sama bersusah payah berbaring di atas jalan tar dengan cahaya matahari yang terik. Betapa gigihnya kami berswafoto dengan stail begini demi menghasilkan sebuah gambar yang cantik. Harapnya gambar ini cantik di mata Prof Normaliza 💖




Post 2: Gambar ini diambil semasa aku menuntut di tahun pertama. Apabila melihat kembali gambar ini, terasa seperti berbeza sekali dengan penampilan aku yang kini (tahun 2-tahun 3). Aku lebih selesa untuk berseluar Jeans dan T-Shirt setiap kali ke kuliah, sudah tidak ayu lagi seperti gambar di bawah. Hahaha penampilanku ini terasa freshie sungguh 😝



Thursday, October 10, 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Bab 6 Blog Di Dalam Kelas Bahasa


ULASAN TENTANG BLOG DI DALAM KELAS BAHASA 

Blog dianggap sebagai satu jaringan komunikasi atas talian yang masih kekal utuh digunakan sejak ianya diperkenalkan pada tahun 1991. Betapa unggulnya kewujudan blog sehingga mampu bertahan dan tetap menjadi pilihan para pengguna di luar sana sebagai satu cara untuk berkongsi maklumat kepada pembaca.

Menurut Normaliza Abd Rahim, 2014 blog merupakan medium perbincangan bertulis sama ada secara formal atau tidak formal. Blog pada hakikatnya mempunyai banyak kelebihan, yang mana pengguna atau individu itu sendri boleh menggunakan blog untuk kegunaan peribadi misalnya sebagai jurnal atau catatan diari.

Malah, blog juga boleh digunakan untuk tujuan perniagaan secara atas talian. Penggunaan blog dilihat lebih mudah dan efektif memandangkan ianya bertindak sebagai laman web yang mesra pengguna. Bukan itu sahaja, Li & Chignell, 2010 turut mengemukakan pendapatnya bahawa interaksi dua hala antara pembaca dengan penulis atau penulis dengan penulis yang lain boleh berlaku dengan menggunakan blog. Selain itu, menulis blog dapat dilihat sebagai satu aktiviti yang memberi manfaat kerana penulis atau pengguna itu sendiri boleh mengaplikasikan kemahiran menulis dengan kreatif  di samping meningkatkan keyakinan mereka untuk menulis.

Jika dilihat pada kajian yang dilaksanakan oleh penyelidik-penyelidik lepas, penggunaan blog sangat memberi peranan yang baik. Misalnya, Wang & Woo menyatakan bahawa blog sebagai alat teknologi yang menawarkan peluang kepada pengguna untuk menyusun maklumat untuk dikongsi secara bersama, memberi maklum balas atau komen dan sebagainya.

Manakala menurut Zaini et. al, 2012 pula memperlihatkan penggunaan blog yang mampu mendorong pelajar untuk membentuk kemahiran menulis. Walau bagaimanapun, beliau menekankan pelajar supaya bertanggungjawab dan lebih berhati-hati ketika menulis sesuatu dan sebaiknya elakkan daripada menyentuh sensitiviti masyarakat luar.

Di dalam buku Eh!!! Media Sosial, Normaliza Abd Rahim juga telah mengemukakan sepuluh cara yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pelajar atau pengguna blog sekiranya mahu menghasilkan penulisan blog yang baik dan bermanfaat. Antaranya ialah, menggunakan tajuk dan cerita yang dapat menarik perhatian pembaca. Penulis juga digalakkan untuk menggunakan ayat-ayat humor dan berbentukjenaka supaya pembaca tidak bosan dengan cerita yang disiarkan. Pastikan hujah disertakan ketika menghuraikan penulisan.

Penulis juga boleh menyampaikan bentuk penulisan yang berkaitan dengan isu semasa. Penulis hendaklah menggunakan ayat yang ringkas dan dapat difahami oleh pembaca. Selain itu, penulis dapat berkomunikasi dengan pembaca melalui penulisan blog yang disiarkan. Sebaik-baiknya, penulisan itu hendaklah bersifat keilmuan dan pengetahuan serta selitkan moral dan nilai estetika.

Kesimpulannya, buku ini dilihat sangat memberi pendedahan dan maklumat baru berkaitan dengan media sosial. Malah, penulis buku ini juga turut memberi panduan yang jelas kepada pengguna yang baru hendak berkecimpung dalam dunia media sosial atau blog.

Wednesday, October 2, 2019

BBM3410Satu2019: SUATU KETIKA


Suatu ketika, aku pulang ke kampung halamanku. Terlalu banyak perubahan yang berlaku sejak bertahun yang lalu. Aku merindui suasana kampungku yang dahulunya sentiasa meriah dengan usikan atok dan opah, namun kini tiada lagi itu semua. Perlahan-lahan suasana itu berubah, dan aku merasakan rumah atok dan opah kini terlalu sunyi.

Dahulu, setiap kali kami datang pastinya atok dan opah menjamu kami dengan pelbagai makanan. Ada sahaja bekal yang dikirimkan kepada kami. Kadang-kadang atok bagi kami bawak balik buah, air kotak, kerepek kerepek, biskut dan bermacam lagi. Atok dengan opah tidak pernah sekali pun meninggi suara pada kami. Ada sahaja usikan daripada mereka berdua.

Atok, pagi-pagi lagi dia sudah sibuk di luar rumah. Walaupun kakinya ketika itu tidak betah untuk berdiri lama, tetapi dia masih tetap membuat kerja-kerja mengemas, menyapu daun kering di halaman rumah. Ada saja kerja yang hendak dibuatnya. Aku tahu atok sunyi selepas arwah opah pergi meninggalkan kami. Namun, dia cuba kuat demi anak-anak dan cucunya.

Tidak lama selepas arwah opah meninggal, Allah uji pulak dengan keadaan atok yang mulai kerap keluar masuk hospital. Aku tahu, pasti atok akan menyusul langkah mengikut arwah opah. Benarlah pada pagi itu, nafas atok sudah di hujung-hujung nyawa. Terasa berat sekali melihat keadaannya ketika itu. Masih ku ingat lagi, abang sepupuku perlahan-lahan membisikkan kalimah syahadah di telinga atok. 

Dan sesungguhnya kepergian mereka benar-benar meragut kenangan remajaku. Di usia yang menginjak 23 tahun ini, aku cuba kembali mengenang kisah lalu. Andai aku boleh putarkan masa, aku ingin kembali ke zaman kanak-kanak dan remajaku, bersama-sama atok dan opah. Nana rindu atok dengan opah. Semoga arwah atok dan opah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dan diampunkan dosa masa lalu. Al-fatihah.






BBM3410Satu2019: TIP BELAJAR DENGAN MUDAH


Saya yakin proses pembelajaran bukanlah sesuatu yang mudah. Pasti akan ada situasi jatuh dan bangun. Namun, bagi setiap individu yang benar-benar ingin menuntut ilmu, sudah tentu kegagalan yang dihadapi tidak dianggap sebagai suatu penghalang untuk mencapai kejayaan. Bangkitlah, dan teruskan mengejar impianmu. Berikan hadiah dan banggakan ibu ayah dengan segulung Ijazah Sarjana Muda. Oleh itu, jangan pernah sesekali kita berputus asa dalam menuntut ilmu, ikhlaskan hati dan InsyaAllah segala urusan akan dipermudahkan oleh Allah SWT. 

Semoga kita semua berjaya graduat dengan Ijazah Kelas Pertama kawan-kawan! 
Amin Ya Rabbal Alamin



Tuesday, October 1, 2019

BBM3410Satu2019: Bird's Eye View (Wakanda Production)

Bird's Eye View (3 Gambar) 



Pandangan seekor burung yang memfokuskan kepada dua manusia yang sedang berjalan itu. Lagaknya seperti seekor burung helang yang cuba untuk mengenal pasti habuannya pada tengah hari yang terik itu. Dia mengira-gira peluangnya untuk memulakan teknik sambaran ke atas mangsa-mangsa tersebut. Dia fokus dan sepertinya memerlukan si helang untuk membuka sayap dan terbang menjunam ke arah mangsa.




Di tengah bulatan itu, aku mengira manusia sepertinya kelihatan sibuk dengan urusan masing-masing. Setiap perjalanan mereka yang datang dari pelbagai arah pastinya mempunyai tujuan atau destinasi yang ingin mereka tuju. Sedang aku leka menikmati pemandangan di hadapan ini, aku terfikir sejenak apakah manusia -manusia itu semua sudah menjalankan tanggungjawabnya kepada Tuhan ? Adakah dalam kesibukkan itu, mereka ingat kepada Tuhan ? Aku sendiri sedang bertasbih merenung pandangan dunia yang mungkin sudah sampai ke penghujungnya.




Pemandangan yang sama sejak bertahun yang lalu. Namun, kelibat manusia di situ sering bertukar-tukar. Mungkin manusia-manusia itu jemu barangkali. Tidak mengapalah, biar saja aku yang setia dengan santapan pemandangan ini. Dari puncak ini aku dapat melihat kesemuanya. Manusia yang diciptakan Allah sebesar itu, namun di penglihatanku kini mereka bersaiz kecil sahaja.

BBM3410Satu2019: Over The Shoulder (Wakanda Production)

Over The Shoulder (3 Gambar)




Si tudung merah segera menegur rakannya. Pelik mungkin apabila melihat mereka ingin menaiki motor sambil memegang payung. Tidakkah mereka tahu, tindakan memegang payung itu hanya sia-sia. Janganlah kalian berangan menjadi seperti puteri lilin yang tidak betah dengan cahaya mentari. Aku percaya di saat motor itu dibonceng pastinya payung itu terbang ditiup angin. Hahaha tolonglah, nikmati saja mentari ini sementara diberi peluang. Andai langit sudah mendung gelap dan tiada lagi sinaran, pasti kita akan merinduinya.





Benarlah sangkaan aku selama ini, lelaki mana pun tidak pernah cukup dengan seorang kekasih. Tengok sahajalah konflik cinta yang sedang berlaku ini. Kekasih yang seorang itu pun tidak mampu untuk dijaga hatinya, apatah lagi untuk dibelai dan disayangi. Punah segala impiannya, tatkala melihat lelaki yang disanjung tinggi kini mula beralih arah. Secara terang-terangan lelaki itu mula menjauhkan diri daripada gadis yang dahulunya sayang kini sudah semakin pudar. Kasih dan sayangnya kini mula berkembang mekar buat si gadis molek yang cuba dilindungi daripada panas mentari. Aduh kasihan!




Sebenarnya saat ini aku sedang terkejar-kejar hendak menaiki bas. Habislah aku kali ini, Prof Normaliza pasti marah jika pelajarnya datang lewat ke kelas. Mereka ini pun satu hal. Boleh dikatakan ramai lagi yang sedang berjalan di situ, aku juga yang ditahannya. Bukan setakat satu atau dua gambar yang diambil, tetapi lebih dari itu. Masih juga kata nak lagi, perempuan memang begitu. Sudahnya, aku sendiri terpaksa membuka mulut mengatakan bahawa aku sudah lewat hendak ke kelas. Lalu, dengan terkocoh-kocoh mereka segera meminta maaf padaku. Tahu pun serba salah.
 


BBM3410Satu2019: Mug Shot (Wakanda Production)

Mug Shot (3 Manusia)


Air mata seorang wanita itu mahal nilainya.Setelah sekian lama memendam perasaan, berhempas pulas menjaga tiga anak yang masih kecil dan akhirnya air mata itu sudah tidak dapat ditampung lagi. Pecah juga empangannya dek terlalu berat ujian yang terpaksa diharunginya. Sungguh dia tidak menyangkakan kepergian anak-anaknya itu. Kejam sungguh orang yang melanggar anak kucingnya sehinga terkeluar isi perut si kecil meow. Mummy rindu anak-anak mummy.




MasyaAllah, rambut aku! Serabut! Satu demi satu tugasan diberikan oleh pensyarah. Rungsing benar bila difikirkan. Belum selesai tugasan yang satu itu, datang pula tugasan yang baru. Ahli kumpulan pula langsung tidak mahu memberi kerjasama. Semuanya diletakkan pada aku. Ah lantak hangpa lah! Janji aku buat kerja aku, susah-susah sangat aku report je dekat Prof. Lantak pi kat hang lah!




Gembiranya hati apabila tercalon sebagai MTM. Hehe, inilah masanya hendak buli adik-adik junior. Jangan ingat sesi orientasi Kolej 12 mudah ye adik-adik. Jangan ingat boleh lari daripada terlibat dengan aktiviti orientasi. Sepatutnya,adik-adik kena bangga sebab dipelawa untuk menyambungkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia. Jadi, tiada alasan untuk adik-adik mengelak daripada orientasi. Percayalah, melalui orientasi ini nanti adik-adik dapat kenal dengan lebih mendalam mengenai UPM, Kolej dan rakan-rakan baru. Akak ni baik je orangnya.


BBM3410Satu2019: Ketika dan Kalimat

Semestar akhir kian berlalu. Detik masa seakan pantas bergerak. Berbaki lagi beberapa minggu untuk kita nikmati momen bersama sebagai seor...