Wednesday, December 4, 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Buku Eh!!! Media Sosial


Dalam bab 1, iaitu Media Sosial: Gambaran Keseluruhan mengandungi perihal peranan sistem pendidikan dalam membentuk masa depan negara di samping melahirkan pelajar yang berkeyakinan dan berdaya saing dalam era Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Kewujudan media sosial digalakkan khususnya dalam pembelajaran bahasa, misalnya melalui e-pembelajaran, Instagram, Twitter dan Facebook. Seterusnya, dalam bab 2 pula berkisarkan tentang Twitter dan trend terkini di mana beberapa kajian telah dilakukan ke atas penggunaan Twitter dalam kalangan pengguna media sosial. Antaranya tujuannya adalah untuk proses pembelajaran di samping membantu mereka dalam menjalinkan hubungan sosial antara masyarakat luar. Kemudian, dalam bab 3 yang bertajuk Facebook masih digunakan memperlihatkan antara media sosial yang mempunyai paling ramai penggunanya. Kebanyakkan masyarakat dan pelajar banyak meluangkan masa dengan aplikasi Facebook dan ia digunakan sebagai satu cara untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan.

Instagram menyeronokkan merupakan topik yang hangat dibincangkan dalam bab 4 di mana, aplikasi ini membolehkan penggunanya untuk berkongsi gambar serta video kepada dunia luar. Bab 5 pula menyentuh mengenai topik e-mel masih popular pada masa kini dan penggunaan e-mel juga antara medium komunikasi iaitu teks bertulis atau pesanan yang boleh  melampirkan fail untuk dihantar kepada pengguna lain. Dalam bab 6 pula, blog di dalam kelas bahasa memperlihatkan penggunaan blog sebagai satu aktiviti yang dapat membentuk keyakinan pengguna untuk menulis dengan kreatif. Manakala, dalam bab 7 pula menyentuh tentang isu yang wujud dalam rangkaian sosial dalam kalangan pengguna. Kewujudan pelbagai rangkaian sosial ini membuatkan pengguna seakan bergantung kepada kemudahan ini dalam kehidupan seharian mereka. Antara isu yang timbul ialah, penyebaran maklumat palsu dan lain-lain. Bab 8 pula berkaitan dengan implikasi pedagogi yang mana media sosial digunakan dalam sistem pendidikan untuk mempengaruhi pembelajaran bahasa pelajar secara atas talian.

Kehadiran buku Eh!!! Media Sosial ini dapat memberi implikasi kepada pelajar dalam membantu mereka mengaplikasikan kemudahan media sosial untuk tujuan pembelajaran dan perkongsian maklumat.

Rujukan: Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim. (2019). Eh!!! Media Sosial. Terengganu: Penerbit UMT
 

Penulis: Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim
Nama buku: Eh!!! Media Sosial
Harga Buku: RM60

Wednesday, November 27, 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi Normaliza Abd Rahim (2019)

Jadi kelas amali Multimedia dalam Bahasa pada petang ini akan mengulas buku yang ditulis sendiri oleh Prof. Normaliza.

Dalam bab 1 ini menyentuh kepada definisi wacana, dan pengkategorian aspek yang terdapat dalam wacana iaitu, dari aspek sosiologi dan aspek linguistik. Malah, wacana juga boleh terdiri daripada dua bentuk penglahiran idea atau maklumat melalui penulisan atau secara lisan. Manakala, dalam bab 2 pula lebih menyentuh mengenai teori dan pendekatan wacana. Teori analisis wacana ini dapat dilihat melalui 5 teori yang diperkenalkan oleh Brown & Yule, Stubbs, Vandijk, dan Normaliza Abd Rahim. Dalam teori analisis wacana yang diperkenalkan oleh Normaliza Abd Rahim ini terdiri daripada tiga elemen yang diberikan penekanan iaitu dari aspek kandungannya, konteks dan andaian. Dalam bab 3 pula, berkaitan dengan analisis wacana tekstual dan ujaran yang terdiri daripada 3 kajian antaranya, kajian wacana tekstual lirik lagu, wacana tekstual cerita sosial dan ujaran dalam kalangan kanak-kanak autisme. Ketiga-tiga kajian ini meneliti tentang nilai sosial yang terkandung dalam lirik lagu, cerita sosial dan ujaran kanak-kanak autisme.

Seterusnya, dalam bab 4 iaitu berkenaan dengan strategi komunikasi yang diperlukan supaya penyampaian sesuatu mesej itu dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan. Komunikasi turut melibatkan penggunaan bahasa isyarat atau bahasa badan. Manakala, bab 5 yang berkaitan dengan taksonomi dan pendekatan strategi komunikasi pula dapat dilihat dalam 5 elemen iaitu pengelakan, parafrasa, pemindahan secara sedar, meminta pertolongan dan mimikan. Bab 6 pula melibatkan analisis strategi komunikasi dalam kalangan kanak-kanak di mana seramai sepuluh pelajar sekolah rendah dijadikan sebagai sampel kajian. Terdapat 16 pendekatan strategi komunikasi iaitu singkatan, perkataan baharu tiada makna, penafian, percanggahan, persoalan, pengulangan, pembetulan kendiri dan sebagainya. Bab 7 pula yang lebih tertumpu kepada cadangan kajian akan datangyang memfokuskan kepada kajian mengenai bahasa isyarat, bahan bercetak, serta bahan elektronik dan media sosial. Implikasi daripada penghasilan buku ini dapat memberi maklumat dan pendedahan baharu khususnya kepada para pelajar mengenai wacana, strategi komunikasi, dan antara kajian yang boleh dilakukan pada masa hadapan kelak.

Normaliza Abd Rahim. (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi.Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu
Harga buku: RM20






Friday, November 1, 2019

BBM3410Satu2019: FOTOGRAFI 6 (FLAT LAY INDIVIDU)

Assalamualaikum semua! Seronok tak bercuti dengan tugasan Multimedia ? 😜

Tapi kan kawan-kawan perasan tak, disebabkan tugasan Flat Lay Makanan ni kan secara tak langsung macam-macam makanan kita dapat makan. Betul tak ? Orang kata rezeki balik kampung mungkin hehe. Mak ayah pulak yang terlebih semangat beli makanan itu ini demi tugasan anak dia. Terima kasih ayah sudi beli macam-macam makanan.

Oh ye! Buat mereka yang tak tahu tugasan Flat Lay ni macam mana, sebenarnya Prof. Normaliza tugaskan kami untuk ambil gambar mengikut cara Flat Lay ni lah. Uniknya tugasan ini, Prof minta kami untuk ambil gambar makanan. Siapa yang tak suka makanan kan, haha. Jadi, makanan itu akan diambil dari empat sudut yang berbeza, iaitu Flat Lay, Half Flat Lay, Quarter Flat Lay, dan Zero Flat Lay.

Gambar ni bukan sebarang gambar tau, kerana gambar ini juga perlu dihasilkan dalam bentuk video yang menarik dan perlu dipostkan ke laman Youtube. Makanan yang menjadi pilihan saya juga bukanlah makanan yang mewah pun, biasa-biasa sudah. Jadi, kalau anda semua nak tahu setiap sudut tu bagaimana hasilnya, bolehlah kunjung ke link yang tertera. Selamat menonton 😎

https://www.youtube.com/watch?v=Mfry9H8XebQ&list=RDMfry9H8XebQ&start_radio=1


44 gambar untuk 11 menu makanan


Saturday, October 19, 2019

BBM3410Satu2019: Instagram Minggu 6

Post 1: Gambar ini menjadi lambang persahabatan, kegigihan dan kesanggupan empat sekawan untuk bersama-sama bersusah payah berbaring di atas jalan tar dengan cahaya matahari yang terik. Betapa gigihnya kami berswafoto dengan stail begini demi menghasilkan sebuah gambar yang cantik. Harapnya gambar ini cantik di mata Prof Normaliza 💖




Post 2: Gambar ini diambil semasa aku menuntut di tahun pertama. Apabila melihat kembali gambar ini, terasa seperti berbeza sekali dengan penampilan aku yang kini (tahun 2-tahun 3). Aku lebih selesa untuk berseluar Jeans dan T-Shirt setiap kali ke kuliah, sudah tidak ayu lagi seperti gambar di bawah. Hahaha penampilanku ini terasa freshie sungguh 😝



Thursday, October 10, 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Bab 6 Blog Di Dalam Kelas Bahasa


ULASAN TENTANG BLOG DI DALAM KELAS BAHASA 

Blog dianggap sebagai satu jaringan komunikasi atas talian yang masih kekal utuh digunakan sejak ianya diperkenalkan pada tahun 1991. Betapa unggulnya kewujudan blog sehingga mampu bertahan dan tetap menjadi pilihan para pengguna di luar sana sebagai satu cara untuk berkongsi maklumat kepada pembaca.

Menurut Normaliza Abd Rahim, 2014 blog merupakan medium perbincangan bertulis sama ada secara formal atau tidak formal. Blog pada hakikatnya mempunyai banyak kelebihan, yang mana pengguna atau individu itu sendri boleh menggunakan blog untuk kegunaan peribadi misalnya sebagai jurnal atau catatan diari.

Malah, blog juga boleh digunakan untuk tujuan perniagaan secara atas talian. Penggunaan blog dilihat lebih mudah dan efektif memandangkan ianya bertindak sebagai laman web yang mesra pengguna. Bukan itu sahaja, Li & Chignell, 2010 turut mengemukakan pendapatnya bahawa interaksi dua hala antara pembaca dengan penulis atau penulis dengan penulis yang lain boleh berlaku dengan menggunakan blog. Selain itu, menulis blog dapat dilihat sebagai satu aktiviti yang memberi manfaat kerana penulis atau pengguna itu sendiri boleh mengaplikasikan kemahiran menulis dengan kreatif  di samping meningkatkan keyakinan mereka untuk menulis.

Jika dilihat pada kajian yang dilaksanakan oleh penyelidik-penyelidik lepas, penggunaan blog sangat memberi peranan yang baik. Misalnya, Wang & Woo menyatakan bahawa blog sebagai alat teknologi yang menawarkan peluang kepada pengguna untuk menyusun maklumat untuk dikongsi secara bersama, memberi maklum balas atau komen dan sebagainya.

Manakala menurut Zaini et. al, 2012 pula memperlihatkan penggunaan blog yang mampu mendorong pelajar untuk membentuk kemahiran menulis. Walau bagaimanapun, beliau menekankan pelajar supaya bertanggungjawab dan lebih berhati-hati ketika menulis sesuatu dan sebaiknya elakkan daripada menyentuh sensitiviti masyarakat luar.

Di dalam buku Eh!!! Media Sosial, Normaliza Abd Rahim juga telah mengemukakan sepuluh cara yang boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pelajar atau pengguna blog sekiranya mahu menghasilkan penulisan blog yang baik dan bermanfaat. Antaranya ialah, menggunakan tajuk dan cerita yang dapat menarik perhatian pembaca. Penulis juga digalakkan untuk menggunakan ayat-ayat humor dan berbentukjenaka supaya pembaca tidak bosan dengan cerita yang disiarkan. Pastikan hujah disertakan ketika menghuraikan penulisan.

Penulis juga boleh menyampaikan bentuk penulisan yang berkaitan dengan isu semasa. Penulis hendaklah menggunakan ayat yang ringkas dan dapat difahami oleh pembaca. Selain itu, penulis dapat berkomunikasi dengan pembaca melalui penulisan blog yang disiarkan. Sebaik-baiknya, penulisan itu hendaklah bersifat keilmuan dan pengetahuan serta selitkan moral dan nilai estetika.

Kesimpulannya, buku ini dilihat sangat memberi pendedahan dan maklumat baru berkaitan dengan media sosial. Malah, penulis buku ini juga turut memberi panduan yang jelas kepada pengguna yang baru hendak berkecimpung dalam dunia media sosial atau blog.

Wednesday, October 2, 2019

BBM3410Satu2019: SUATU KETIKA


Suatu ketika, aku pulang ke kampung halamanku. Terlalu banyak perubahan yang berlaku sejak bertahun yang lalu. Aku merindui suasana kampungku yang dahulunya sentiasa meriah dengan usikan atok dan opah, namun kini tiada lagi itu semua. Perlahan-lahan suasana itu berubah, dan aku merasakan rumah atok dan opah kini terlalu sunyi.

Dahulu, setiap kali kami datang pastinya atok dan opah menjamu kami dengan pelbagai makanan. Ada sahaja bekal yang dikirimkan kepada kami. Kadang-kadang atok bagi kami bawak balik buah, air kotak, kerepek kerepek, biskut dan bermacam lagi. Atok dengan opah tidak pernah sekali pun meninggi suara pada kami. Ada sahaja usikan daripada mereka berdua.

Atok, pagi-pagi lagi dia sudah sibuk di luar rumah. Walaupun kakinya ketika itu tidak betah untuk berdiri lama, tetapi dia masih tetap membuat kerja-kerja mengemas, menyapu daun kering di halaman rumah. Ada saja kerja yang hendak dibuatnya. Aku tahu atok sunyi selepas arwah opah pergi meninggalkan kami. Namun, dia cuba kuat demi anak-anak dan cucunya.

Tidak lama selepas arwah opah meninggal, Allah uji pulak dengan keadaan atok yang mulai kerap keluar masuk hospital. Aku tahu, pasti atok akan menyusul langkah mengikut arwah opah. Benarlah pada pagi itu, nafas atok sudah di hujung-hujung nyawa. Terasa berat sekali melihat keadaannya ketika itu. Masih ku ingat lagi, abang sepupuku perlahan-lahan membisikkan kalimah syahadah di telinga atok. 

Dan sesungguhnya kepergian mereka benar-benar meragut kenangan remajaku. Di usia yang menginjak 23 tahun ini, aku cuba kembali mengenang kisah lalu. Andai aku boleh putarkan masa, aku ingin kembali ke zaman kanak-kanak dan remajaku, bersama-sama atok dan opah. Nana rindu atok dengan opah. Semoga arwah atok dan opah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, dan diampunkan dosa masa lalu. Al-fatihah.






BBM3410Satu2019: TIP BELAJAR DENGAN MUDAH


Saya yakin proses pembelajaran bukanlah sesuatu yang mudah. Pasti akan ada situasi jatuh dan bangun. Namun, bagi setiap individu yang benar-benar ingin menuntut ilmu, sudah tentu kegagalan yang dihadapi tidak dianggap sebagai suatu penghalang untuk mencapai kejayaan. Bangkitlah, dan teruskan mengejar impianmu. Berikan hadiah dan banggakan ibu ayah dengan segulung Ijazah Sarjana Muda. Oleh itu, jangan pernah sesekali kita berputus asa dalam menuntut ilmu, ikhlaskan hati dan InsyaAllah segala urusan akan dipermudahkan oleh Allah SWT. 

Semoga kita semua berjaya graduat dengan Ijazah Kelas Pertama kawan-kawan! 
Amin Ya Rabbal Alamin



BBM3410Satu2019: Ketika dan Kalimat

Semestar akhir kian berlalu. Detik masa seakan pantas bergerak. Berbaki lagi beberapa minggu untuk kita nikmati momen bersama sebagai seor...