Sunday, September 22, 2019

BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog. Tugas individu.


Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), terdapat 10 etika dalam penulisan blog iaitu:

1. Tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca

Penulis perlu memastikan tajuk yang digunakan adalah menarik supaya pembaca tertarik untk membaca keseluruhan entri. Penggunaan ayat yang ringkas dan jelas akan membantu pembaca untuk memahami tujuan atau objektif yang hendak disampaikan. Di samping itu, penulisan tajuk juga seharusnya berkait dengan isi kandungan yang hendak diketengahkan oleh penulis. Pemilihan tajuk haruslah kreatif dan tidak cliche bagi menggelakkan pembaca merasa bosan. Penggunaan huruf besar juga memainkan peranan supaya tajuk tersebut kelihatan lebih tersusun dan kemas.

2. Cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca

Penulisan blog haruslah menampilkan penceritaan yang menarik dan bukan sekadar rekaan semata-mata. Perkongsian daripada pengalaman sebenar penulis akan memberikan kepuasan dan keseronokkan kepada pembaca seolah-olah mereka juga merasakan hal yang sama. Susun atur sesebuah cerita itu akan lebih menarik jika  isinya lengkap dengan pendahuluan, kandungan dan penutup. Penceritaan yang hendak disiarkan sebaiknya sesuai dengan realiti kehidupan sekarang atau mengikut peredaran semasa.

3. Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik

Penggunaan ayat juga memainkan peranan penting bagi menarik perhatian pembaca. Penulis digalakkan juga untuk memasukkan elemen jenaka dalam sesebah perkongsian atau penceritaan supaya pembaca tidak merasa bosan semasa membacanya. Penggunaan ayat yang bersifat humor dan jenaka ini pastinya dapat mencuit hati para pembaca. Berbeza pula dengan penggunaan ayat yang lebih bersifat formal dan mengikut aturan tatabahasa. Kebanyakkan pembaca lebih gemar membaca sesuatu perkongsian itu dengan cara yang lebih santai dan tidak terlalu formal. Sesuatu penulisan itu akan jadi lebih bermakna jika pembaca ternanti-nanti akan post entry yang seterusnya. Hal ini menandakan hati mereka benar-benar sudah jatuh cinta dengan jenaka si penulis.

4. Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda

Sesebuah penulisan itu sebenarnya melambangkan isi hati atau pendapat penulis itu sendiri. Adalah lebih baik jika pendapat itu disertakan dengan hujah-hujah yang tepat dan mengikut fakta. Kesahihan fakta adalah sangat penting bagi mengelakkan salah faham atau pertindanan maklumat antara para pembaca. Oleh yang demikian, penulis terlebih dahulu perlu mendapatkan lebih banyak info untuk menghasilkan hujah-hujah yang dapat menyokong penulisan atau perkongsian itu. Hujah itu juga boleh disokong dengan kenyataan-kenyataan rasmi sama ada dari sumber media sosial, buku, jurnal dan sebagainya.

5. Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini

Sesuatu perkongsian di laman blog akan menjadi lebih menarik sekiranya penulis blog dapat mengaitkannya dengan isu terkini. Pembaca majoritinya gemar membaca sesuatu yang lebih bersifat menyampaikan informasi semasa misalnya isu pembuangan bayi. Namun begitu, penulis tidak perlu terburu-buru dalam melemparkan sesuatu pendapat. Adalah lebih baik jika pendapat itu diberikan secara bernas dan mengikut fakta.

6. Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas

Penggunaan perkataan serta struktur ayat yang ringkas akan memudahkan para pembaca untuk memahami isi yang hendak disampaikan. Penggunaan ayat yang terlalu panjang akan menyukarkan pembaca untuk memahami keseluruhan entri tersebut. Oleh itu, penulis digalakkan untuk menggunakan ayat yang ringkas memandangkan pembaca blog terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang pendidikan yang berbeza.

7. Dapat dibaca dan difahami

Setiap ayat yang digunakan haruslah dapat dibaca dan difahami oleh pembaca. Penulis perlu bertimbang rasa dalam menggunakan jenis font yang sesuai. Pastikan font yang digunakan itu tidak terlalu kecil dan elakkan daripada menggunakan font berangkai kerana ianya pasti akan menyukarkan pembaca. Bukan itu sahaja, penggunaan background atau tema haruslah sesuai dan tidak terlalu terang sehingga menyukarkan pembaca untuk melihat atau membaca entri tersebut. Bagi memastikan sesuatu perkongsian itu dapat difahami, penulis perlu menggunakan ayat yang terdiri daripada subjek dan predikatnya. Hal ini supaya, pembaca dapat memahami isi sebenar yang hendak dijelaskan.

8. Dapat berkomunikasi dengan pembaca

Salah satu kelebihan blog ialah penulis dapat berkomunikasi dengan pembaca melalui ruangan komen yang tertera di bahagian bawah. Blog menjadi sebahagian daripada medium perantaraan antara dua pihak untuk menyampaikan hasrat atau pendapat secara alam maya. Penulis menggunakan blog sebagai satu cara untuk menyatakan pendapat atau memberi maklumat penting kepada pembaca agar dapat dijadikan sebagai peringatan atau sebaliknya.

9. Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda

Sesuatu perkongsian itu seharusnya diselitkan dengan moral dan nilai estetika supaya dapat dijadikan sebagai peringatan, dan panduan kepada pembaca. Kehadiran unsur moral di akhir perkongsian atau penceritaan dapat membuatkan pembaca mengambil iktibar dan pengajaran supaya tidak melakukan seuatu perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada diri sendiri mahupun kepada masyarakat. Bukan itu sahaja, penulis juga perlu memasukkan nilai estetika dengan menggunakan setiap bait ayat yang indah supaya dapat memberikan impak yang menarik di samping menyentuh hati para pembaca.

10. Berilmu untuk penulisan pendidikan

Setiap perkongsian maklumat di dalam blog sebaiknya biarlah sesuatu input yang bermanfaat kepada semua pembaca. Penulis boleh menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk menyebarkan seberapa banyak ilmu kepada para pembaca melalui pengisian di laman blog. Malah, tidak dinafikan majoriti masyarakat kini lebih banyak bersandarkan kepada maklumat di dalam blog untuk dijadikan sebagai rujukan dan pengetahuan tambahan. Melalui blog juga, pembaca dapat mengetahui sesuatu maklumat hanya di hujung jari. Oleh sebab itu, penulis blog harus bijak dalam memastikan setiap perkongsian maklumat itu adalah tepat dan tidak menyelewang daripada fakta sebenar.

No comments:

Post a Comment

BBM3410Satu2019: Ketika dan Kalimat

Semestar akhir kian berlalu. Detik masa seakan pantas bergerak. Berbaki lagi beberapa minggu untuk kita nikmati momen bersama sebagai seor...