Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam
Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019), terdapat 10 etika dalam penulisan
blog iaitu:
1. Tajuk yang menarik yang boleh menarik
perhatian pembaca
Penulis perlu memastikan tajuk yang
digunakan adalah menarik supaya pembaca tertarik untk membaca keseluruhan entri.
Penggunaan ayat yang ringkas dan jelas akan membantu pembaca untuk memahami tujuan
atau objektif yang hendak disampaikan. Di samping itu, penulisan tajuk juga
seharusnya berkait dengan isi kandungan yang hendak diketengahkan oleh penulis.
Pemilihan tajuk haruslah kreatif dan tidak cliche bagi menggelakkan pembaca
merasa bosan. Penggunaan huruf besar juga memainkan peranan supaya tajuk tersebut
kelihatan lebih tersusun dan kemas.
2. Cerita menarik yang dapat menarik
hati pembaca
Penulisan blog haruslah menampilkan
penceritaan yang menarik dan bukan sekadar rekaan semata-mata. Perkongsian daripada
pengalaman sebenar penulis akan memberikan kepuasan dan keseronokkan kepada
pembaca seolah-olah mereka juga merasakan hal yang sama. Susun atur sesebuah
cerita itu akan lebih menarik jika isinya
lengkap dengan pendahuluan, kandungan dan penutup. Penceritaan yang hendak
disiarkan sebaiknya sesuai dengan realiti kehidupan sekarang atau mengikut peredaran
semasa.
3. Masukkan ayat yang humor dan
berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik
Penggunaan ayat juga memainkan peranan
penting bagi menarik perhatian pembaca. Penulis digalakkan juga untuk
memasukkan elemen jenaka dalam sesebah perkongsian atau penceritaan supaya
pembaca tidak merasa bosan semasa membacanya. Penggunaan ayat yang bersifat
humor dan jenaka ini pastinya dapat mencuit hati para pembaca. Berbeza pula dengan
penggunaan ayat yang lebih bersifat formal dan mengikut aturan tatabahasa. Kebanyakkan
pembaca lebih gemar membaca sesuatu perkongsian itu dengan cara yang lebih
santai dan tidak terlalu formal. Sesuatu penulisan itu akan jadi lebih bermakna
jika pembaca ternanti-nanti akan post entry yang seterusnya. Hal ini menandakan
hati mereka benar-benar sudah jatuh cinta dengan jenaka si penulis.
4. Memastikan terdapat hujah terbaik
untuk menghuraikan penulisan anda
Sesebuah penulisan itu sebenarnya
melambangkan isi hati atau pendapat penulis itu sendiri. Adalah lebih baik jika
pendapat itu disertakan dengan hujah-hujah yang tepat dan mengikut fakta. Kesahihan
fakta adalah sangat penting bagi mengelakkan salah faham atau pertindanan
maklumat antara para pembaca. Oleh yang demikian, penulis terlebih dahulu perlu
mendapatkan lebih banyak info untuk menghasilkan hujah-hujah yang dapat menyokong
penulisan atau perkongsian itu. Hujah itu juga boleh disokong dengan kenyataan-kenyataan
rasmi sama ada dari sumber media sosial, buku, jurnal dan sebagainya.
5. Kaitkan penulisan anda dengan berita
terkini
Sesuatu perkongsian di laman blog akan
menjadi lebih menarik sekiranya penulis blog dapat mengaitkannya dengan isu
terkini. Pembaca majoritinya gemar membaca sesuatu yang lebih bersifat
menyampaikan informasi semasa misalnya isu pembuangan bayi. Namun begitu,
penulis tidak perlu terburu-buru dalam melemparkan sesuatu pendapat. Adalah lebih
baik jika pendapat itu diberikan secara bernas dan mengikut fakta.
6. Gunakan perkataan dan struktur ayat
yang ringkas
Penggunaan perkataan serta struktur ayat
yang ringkas akan memudahkan para pembaca untuk memahami isi yang hendak disampaikan.
Penggunaan ayat yang terlalu panjang akan menyukarkan pembaca untuk memahami keseluruhan
entri tersebut. Oleh itu, penulis digalakkan untuk menggunakan ayat yang
ringkas memandangkan pembaca blog terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan
latar belakang pendidikan yang berbeza.
7. Dapat dibaca dan difahami
Setiap ayat yang digunakan haruslah
dapat dibaca dan difahami oleh pembaca. Penulis perlu bertimbang rasa dalam menggunakan
jenis font yang sesuai. Pastikan font yang digunakan itu tidak
terlalu kecil dan elakkan daripada menggunakan font berangkai kerana
ianya pasti akan menyukarkan pembaca. Bukan itu sahaja, penggunaan background
atau tema haruslah sesuai dan tidak terlalu terang sehingga menyukarkan pembaca
untuk melihat atau membaca entri tersebut. Bagi memastikan sesuatu perkongsian
itu dapat difahami, penulis perlu menggunakan ayat yang terdiri daripada subjek
dan predikatnya. Hal ini supaya, pembaca dapat memahami isi sebenar yang hendak
dijelaskan.
8. Dapat berkomunikasi dengan pembaca
Salah satu kelebihan blog ialah penulis
dapat berkomunikasi dengan pembaca melalui ruangan komen yang tertera di
bahagian bawah. Blog menjadi sebahagian daripada medium perantaraan antara dua
pihak untuk menyampaikan hasrat atau pendapat secara alam maya. Penulis
menggunakan blog sebagai satu cara untuk menyatakan pendapat atau memberi
maklumat penting kepada pembaca agar dapat dijadikan sebagai peringatan atau
sebaliknya.
9. Masukkan moral dan nilai estetika
dalam penulisan anda
Sesuatu perkongsian itu seharusnya diselitkan
dengan moral dan nilai estetika supaya dapat dijadikan sebagai peringatan, dan
panduan kepada pembaca. Kehadiran unsur moral di akhir perkongsian atau
penceritaan dapat membuatkan pembaca mengambil iktibar dan pengajaran supaya
tidak melakukan seuatu perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada diri
sendiri mahupun kepada masyarakat. Bukan itu sahaja, penulis juga perlu memasukkan
nilai estetika dengan menggunakan setiap bait ayat yang indah supaya dapat
memberikan impak yang menarik di samping menyentuh hati para pembaca.
10. Berilmu untuk penulisan pendidikan
Setiap perkongsian maklumat di dalam
blog sebaiknya biarlah sesuatu input yang bermanfaat kepada semua pembaca. Penulis
boleh menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk menyebarkan seberapa banyak
ilmu kepada para pembaca melalui pengisian di laman blog. Malah, tidak
dinafikan majoriti masyarakat kini lebih banyak bersandarkan kepada maklumat di
dalam blog untuk dijadikan sebagai rujukan dan pengetahuan tambahan. Melalui blog
juga, pembaca dapat mengetahui sesuatu maklumat hanya di hujung jari. Oleh sebab
itu, penulis blog harus bijak dalam memastikan setiap perkongsian maklumat itu
adalah tepat dan tidak menyelewang daripada fakta sebenar.